Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya selepas pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri pada November ini, tumpuan kini terarah kepada kedudukan dan potensi Parti Warisan, parti tempatan yang pernah menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Dengan pengumuman Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bahawa parti itu akan bertanding secara solo dan menggunakan logonya sendiri, pelbagai pihak menilai sama ada strategi ini mengukuhkan atau melemahkan peluang mereka dalam menghadapi gabungan besar seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi selepas BN dan PH menjalin Kerjasama untuk menghadapi PRN tersebut.
Satu daripada kekuatan utama Warisan terletak pada naratif “Sabah for Sabahan” yang masih kuat dalam kalangan rakyat negeri ini. Warisan muncul sebagai simbol penolakan dominasi parti Semenanjung, dengan pendekatan politik berbilang kaum dan penekanan terhadap autonomi negeri. Strategi ini masih mendapat sambutan terutama di kawasan luar bandar dan majoriti Bumiputera.
Dilihat dari sudut mana pun Warisan masih memiliki pengundi asas yang stabil, terutama dalam kalangan mereka yang sama ada tidak selesa dengan kehadiran parti pusat, atau telah hilang keyakinan terhadap parti-parti nasional itu.
Namun begitu, keputusan Warisan untuk bertanding secara bersendirian bukanlah tanpa risiko. Langkah itu mencetuskan kebimbangan bahawa ia boleh menyebabkan pertembungan sesama pembangkang negeri, lalu memecahkan undi yang sepatutnya menyumbang kepada perubahan.
Selain itu, Warisan sedikit sebanyak terkesan dengan isu perpindahan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak PRN 2020. Kelemahan jentera parti di beberapa kawasan akibat pembelotan ini perlu diberi perhatian sekiranya mereka mahu kembali menjadi kerajaan.
Berdasarkan keputusan PRN 2020 dan pola sokongan semasa, Warisan dijangka berpeluang besar untuk mengekalkan atau menawan semula beberapa kerusi utama, termasuk yang ‘dibawa pergi’ oleh ADUN-ADUN yang meninggalkan parti itu.
Secara keseluruhan, selain mempertahankan kerusi sedia ada Warisan dijangka boleh memberi saingan serius di sekurang-kurangnya 20–25 kerusi, dan jika mampu mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan parti tempatan, peluang membentuk kerajaan kembali tidak mustahil. Tetapi yang agak mustahil adalah mengelak daripada terjadinya pertembungan itu.
Walau apa pun, Warisan bukan sahaja masih relevan dalam landskap politik Sabah, malah boleh muncul semula sebagai peneraju kerajaan negeri – sekurang-kurangnya melalui kerjasama dengan pihak lain – jika strategi mereka digerakkan dengan tersusun. Cabaran utama ialah konsolidasi sokongan dan pengurusan pakatan pembangkang, tetapi sentimen “Sabah for Sabahan” tetap menjadi aset terbesar mereka.
Dalam politik Sabah yang dinamik dan tidak menentu, pengundi masih mencari suara tempatan yang berprinsip, dan jika Warisan memainkan kadnya dengan bijak, PRN kali ini mungkin membuka lembaran baharu sekali lagi buat parti tersebut.
Oleh: Tulus Budiman
