SANDAKAN: Parti Warisan (WARISAN) disifatkan sekadar bermain politik apabila mendakwa mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya kembali mentadbir kerajaan negeri.
Pengerusi Bahagian Parti Impian Sabah Elopura, Jeffery Chung, berkata kenyataan itu tidak lebih daripada janji politik yang tidak berasas dan bercanggah dengan rekod sebenar pentadbiran WARISAN ketika menerajui Sabah antara tahun 2018 hingga 2020.
“WARISAN mempunyai lebih dua tahun untuk menangani isu bekalan air ketika menjadi kerajaan, namun tidak kelihatan sebarang pelan konkrit untuk menaik taraf infrastruktur air di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, ketika era pentadbiran WARISAN, tindakan menamatkan kontrak konsesi loji rawatan air dan melantik syarikat baharu yang kurang berpengalaman telah menyebabkan pengurusan bekalan air menjadi tidak teratur.
“Tindakan itu bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah, malah memburukkan lagi keadaan. Banyak kawasan terus berdepan gangguan air dan tekanan rendah sehingga menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan WARISAN yang kononnya mampu menyelesaikan masalah air dalam masa setahun adalah tidak munasabah dan hanya cubaan untuk mengelirukan rakyat menjelang pilihan raya negeri akan datang.
“Segala bukti menunjukkan bahawa Warisan lebih fokus kepada permainan politik daripada menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Jika dalam tempoh lebih dua tahun mereka tidak mampu berbuat demikian, bagaimana pula dalam tempoh setahun?” katanya.
Jeffrey menegaskan, rakyat Sabah kini semakin matang dan tidak lagi mudah terpedaya dengan janji-janji lama yang tidak disertakan dengan pelan tindakan jelas serta rekod pencapaian sebenar. – Utusan Borneo
