Warisan kekal konsisten tidak bergabung dengan parti jika peroleh majoriti mudah

KENINGAU: Parti Warisan menegaskan pendiriannya untuk kekal berdiri sendiri dan tidak bergabung dengan mana-mana parti, termasuk parti dari Semenanjung, demi mempertahankan keyakinan rakyat Sabah terhadap politik tempatan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya parti itu berjaya memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya negeri akan datang, Warisan akan mentadbir kerajaan negeri secara solo.

“Kita (jika menang) simple majoriti, kita akan tadbir sendiri kerajaan negeri. Kita perlu kekal dengan pendirian ini… tidak semestinya kalau kerusi tak cukup, kita terus bergabung.

“Bagaimana rakyat Sabah boleh percaya dengan kita kalau hari ini kita kata tak mahu bergabung, esok kita tukar pula dan bekerjasama dengan parti-parti dari Semenanjung?” katanya sebagaimana dilaporkan Awani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis **Jelajah Inspirasi DSSA** di Kampung Skim Pemalan Tetiku, Keningau.

Menurut Shafie lagi, kerjasama di peringkat Persekutuan tidak menjadi masalah. Namun bagi Sabah, beliau menegaskan pentadbiran negeri sewajarnya dipimpin oleh parti tempatan.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Semporna itu menyerahkan sepenuhnya kepada pengundi di Sabah untuk menilai, membuat pertimbangan serta menentukan masa depan politik negeri itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *