WARISAN Mampu Bina Landskap Politik Kukuh, Berintegriti – Mantan MP Sandakan

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai detik penentu bukan sahaja bagi Sabah tetapi juga Malaysia, dalam memilih sama ada untuk terus dengan adunan politik bersifat sementara atau membina masa depan berlandaskan integriti, kesaksamaan dan kemajuan, kata mantan Ahli Parlimen Sandakan, Chong Hon Min.

Menurut Chong, landskap politik selepas PRN17 berpotensi melahirkan sebuah kerajaan yang lebih kukuh serta berintegriti.

“Saya melihat Parti Warisan (WARISAN) berupaya menyediakan hala tuju politik sebegitu. Dengan mandat rakyat, kerajaan negeri akan lebih kukuh, adil dan benar-benar berdedikasi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam, seperti dipetik Utusan Borneo.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya rakyat memberikan semula mandat kepada WARISAN bagi membentuk kerajaan yang benar-benar berteraskan rakyat, telus, dan komited mempertahankan hak Sabah serta Malaysia.

Menurutnya, WARISAN konsisten memperjuangkan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk memastikan agihan hasil yang adil, kuasa autonomi lebih besar terhadap sumber negeri, serta kawalan kukuh terhadap dasar utama negara. “Berbeza dengan kerajaan gabungan yang mengutamakan perkongsian kuasa, WARISAN meletakkan kepentingan rakyat di hadapan kerana dasar kerajaan yang dibentuk adalah berasaskan keperluan masyarakat, bukan kehendak golongan elit,” jelas beliau.

Selain itu, Chong berkata WARISAN komited menggerakkan semula ekonomi Sabah dengan pelaburan dalam sektor utama seperti pelancongan, pertanian, perikanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Katanya, memperkasakan industri tempatan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan mampan, menguatkan sektor keusahawanan, dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan luar.

“Tadbir urus baik menjadi teras perjuangan WARISAN. Kami berikrar mengembalikan keyakinan rakyat dengan menjunjung integriti, membanteras rasuah, serta memastikan dana awam digunakan secara bertanggungjawab untuk pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Chong turut menekankan bahawa WARISAN mengangkat masyarakat majmuk Sabah sebagai kekuatan. Parti itu memperjuangkan perpaduan merentas kaum dan agama, dengan memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dilayan secara adil, bermaruah dan penuh hormat.

Beliau menambah, generasi muda adalah masa depan negara, justeru WARISAN akan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, latihan teknikal serta peluang digital bagi membolehkan rakyat Sabah bersaing dalam ekonomi global moden.

“Selain itu, usaha berterusan akan dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan keterhubungan, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan jurang pembangunan ketara. Tiada komuniti akan dipinggirkan,” ujarnya.

Chong juga menegaskan bahawa kerajaan WARISAN akan mengamalkan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas demi menjamin keadilan kepada rakyat. Beliau berkata, aduan dan komen masyarakat mendedahkan banyak kes penyelewengan berlaku, menyebabkan rasa tidak puas hati, dan perkara ini perlu segera ditangani.

 

One thought on “WARISAN Mampu Bina Landskap Politik Kukuh, Berintegriti – Mantan MP Sandakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *