Warisan tegaskan tetap bertanding solo

KOTA KINABALU: Kesediaan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan Warisan dalam PRN Sabah akan datang nampaknya tidak bersambut apabila parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk bertanding secara solo.

Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata parti itu secara konsisten telah berulangkali menjelaskan pendirian untuk bertanding secara bebas dalam pilihan raya yang akan datang di bawah logo sendiri.

“Tiada sebarang rundingan, perbincangan, atau persetujuan dengan PN, Gabungan Rakyat Sabah, atau mana-mana gabungan politik lain mengenai kerjasama pilihan raya,” kata beliau dalam kenyataan yang dipetik FMT hari ini.

Menurut Mohd Azis dalam keadaan ketidakpastian politik dan opportunisme yang berleluasa, Warisan memilih untuk kekal konsisten, berprinsip, dan telus.

“Hala tuju kami jelas… untuk bertanding secara solo dan menyediakan kepada rakyat Sabah sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan mereka berbanding kepentingan politik,” katanya.

Warisan berkata satu-satunya pakatan mereka adalah dengan rakyat Sabah, dan mereka fokus dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh rakyat, seperti peningkatan kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik dan air yang tidak stabil, peluang pekerjaan yang terhad, serta hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terdahulu hari ini, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu tidak akan bertanding secara solo kerana parti yang bertanding sendirian tidak lagi relevan.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerjasama dengan Warisan kekal sebagai satu kemungkinan kerana dalam politik, apa sahaja boleh berlaku, terutamanya memandangkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri belum diumumkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *