KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menegaskan bahawa kriteria calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini perlu berteraskan kesetiaan kepada parti dan keupayaan berkhidmat secara langsung kepada rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, WARISAN tidak mahu pengalaman lama berulang di mana wakil rakyat yang menang akhirnya melompat parti dan mengabaikan tanggungjawab terhadap pengundi.
“Faktor lain… Jangan melompat, kita sudah ada pengalaman sebelum ini. Jadi ini merupakan antara asas pertimbangan serta kriteria calon penting untuk mewakili WARISAN pada PRN Sabah kali ini,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Shafie berkata, WARISAN mahu memastikan semua calon bukan sahaja setia, malah mudah diakses rakyat dan bersedia turun padang menyelesaikan masalah mereka.
“Kita tidak mahu nanti selepas menang rakyat akan mengeluh, sukar untuk berjumpa dengan wakil rakyat mereka untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kualiti kepimpinan amat penting dalam memastikan rakyat Sabah tidak terus terpinggir, terutama dalam isu asas seperti air bersih, elektrik dan infrastruktur luar bandar.
“WARISAN kini sedang mengenal pasti barisan calon berwibawa yang bukan sahaja berpengalaman, tetapi benar-benar memahami keperluan rakyat dan sanggup berkorban demi negeri Sabah,” katanya. – Utusan Borneo
