KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu sedar mereka kini bukan lagi ‘Abang Besar’politik sekali gus kelihatan semakin tenggelam serta kehilangan sokongan rakyat di negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, malah di peringkat nasional UMNO kehilangan sokongan berikutan rakyat sudah serik dengan skrip lama yang hanya berubah pelakon tetapi tidak ada jalan cerita.
Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih memilih fokus ke hadapan, menjalin kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) demi menjamin kestabilan pasca Pilihan Raya Umum (PRU15) serta menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah akan datang.
“Akhirnya, kuasa sebenarnya tidak terletak di tangan mana-mana tokoh, parti atau propaganda, tetapi ia di tangan rakyat.
“Biarlah rakyat Sabah menilai….Siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai berdrama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nizam merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu Musliati Moslimin mendakwa partinya bukan ‘alat politik’ serta bukan kepada ‘pelengkap skrip’ dan bukan ‘pembeli janji palsu’ menunjukkan sendiri keperibadian pemimpin UMNO.
“Ironinya, kenyataan ini datang dari parti yang sendiri mempunyai sejarah panjang dalam menulis skrip politik penuh kelompongan, termasuklah di Sabah.
“Hakikatnya, dalam PRN Sabah 2020, sejarah jelas menukilkan siapa sebenarnya memungkiri perjanjian serta prinsip moral.
“Hanya dua hari sebelum hari penamaan calon, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju bertanding 27 kerusi,” jelas Nizam.
Menurutnya, apabila tiba masanya UMNO bertanding 41 kerusi malah merupakan satu tindakan yang bukan sahaja melanggar persefahaman tetapi mengundang kekeliruan serta keretakan awal dalam gabungan.
“Jika ingin bercakap soal ‘maruah dan “pengkhianatan’ Umno wajar terlebih dahulu memandang cermin sejarahnya sendiri.
“UMNO juga masih tidak dapat menerima hakikat dalam gabungan parti memiliki jumlah kerusi tertinggi memiliki keutamaan untuk menjadi ketua koalisi,” kata Nizam.
Beliau berkata, GRS dianggap sebagai parti ‘serpihan’oleh Musliati Muslimin berjaya memiliki bilangan kerusi tertinggi sekali gus memiliki keutamaan untuk menjadi Ketua Menteri.
“Ini bukanlah satu pengkhianatan, tetapi merupakan asas kepada sistem demokrasi yang sebenarnya.
“Lebih mengejutkan, Musliati langsung tidak menyentuh insiden ‘Langkah Kinabalu’ yang berlaku pada Januari 2023, apabila beberapa pimpinan termasuk Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan sedia ada,” tambahnya.
Nizam menyifatkan tindakan Bung Moktar bersama beberapa pimpinan UMNO bukan sahaja menggugat kestabilan negeri, malah memperjudikan mandat rakyat.
“Tindakan menggugurkan mereka daripada Kabinet dan jawatan dalam agensi adalah prerogatif Ketua Menteri, demi menjaga kestabilan dan kepentingan negeri,” ujar Nizam. – SNT
