KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (YPNM) Sabah dan Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan Persekutuan untuk mengawal caj rawatan di klinik swasta, namun menggesa pelaksanaannya dibuat secara adil dengan mengambil kira profesionalisme pengamal perubatan.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, usaha Kerajaan mengawal harga bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mampu milik kepada rakyat wajar dipuji, terutamanya dalam membantu golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun katanya, dasar kawalan harga tidak seharusnya menjejaskan martabat serta integriti profesional doktor di klinik swasta yang menjadi barisan hadapan dalam sistem kesihatan negara.
“Seorang doktor yang berkualiti bukan sahaja merawat gejala, malah berperanan memberikan preskripsi ubat paling berkesan bagi mempercepatkan proses pemulihan pesakit. Kebolehan ini lahir daripada latihan klinikal bertahun-tahun dan pengorbanan profesional.
“Oleh itu, sebarang pelaksanaan kawalan harga perlu mengambil kira bukan sahaja kos ubat-ubatan, tetapi juga nilai khidmat konsultasi dan kepakaran diagnosis yang diberikan oleh doktor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendekatan kawalan harga yang hanya menekankan aspek kos tanpa mengiktiraf khidmat profesional boleh menjatuhkan martabat profesion perubatan serta mengurangkan motivasi untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengadakan perbincangan menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan termasuk doktor, kumpulan pengguna dan badan pembela pesakit sebelum sebarang mekanisme kawalan harga dilaksanakan.
“Pendekatan yang seimbang amat diperlukan bagi memastikan pesakit dilindungi daripada caj melampau, sambil mengekalkan profesionalisme dan mutu perkhidmatan klinik swasta.
“Kami sedia bekerjasama dan menyumbang dalam perbincangan konstruktif demi memastikan sistem kesihatan negara kekal berkualiti dan mampu diakses oleh semua,” katanya. – Utusan Borneo
