100 ahli GRS umum keluar parti, sokong BN di Membakut

MEMBAKUT: Kira-kira 100 ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Kampung Bawan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau di sini telah mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) pimpinan Ketua UMNO Bahagian Kimanis yang juga Pengerusi BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Dilaporkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk prestasi semasa serta momentum khidmat pembangunan yang dibawa oleh pimpinan BN kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Bongawan.

Menurut wakil kumpulan berkenaan, keputusan mereka bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil penilaian terhadap usaha dan keprihatinan pemimpin BN yang sentiasa turun padang mendengar suara rakyat serta melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Anak muda di kawasan ini juga amat yakin masa depan mereka lebih terjamin bersama Barisan Nasional. Kami melihat hanya BN yang mampu membawa kestabilan dan peluang pembangunan sebenar kepada rakyat luar bandar,” katanya.

Atas keyakinan itu, kumpulan tersebut berikrar untuk terus bersama BN dan bersedia membantu jentera parti dalam kempen pilihan raya bagi memastikan kemenangan mana-mana calon BN yang akan bertanding di DUN Membakut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

PRN ini menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *