KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Penerangan Pusat parti STAR Anuar Ghani yang mempertikai pengumuman Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa parti itu mahu bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kononnya mengenepikan autonomi PKR Sabah dianggap retorik politik yang tersasar daripada fakta.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat, Junaidah Makku @ Junn (gambar), beliau sebaliknya menyokong penjelasan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang berkata PKR negeri tetap diberi hak berunding dan akan mengetengahkan sepenuhnya calon tempatan, tanpa dipengaruhi pusat.
“Saya mengambil maklum kenyataan balas Razeef berhubung dakwaan tidak berasas oleh Ketua Penerangan STAR Sabah itu, dan saya juga menyokong penuh gesaan Nurul Izzah bahawa parti menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN dalam PRN Sabah yang akan datang
“Sebagai pendokong parti, sudah tentu kita mahu PKR bertanding lebih banyak kerusi. Namun secara realistik, sekiranya berlaku pembentukan gabungan besar, 13 kerusi merupakan jumlah yang signifikan, mengambil kira agihan kerusi kepada rakan-rakan komponen Pakatan Harapan seperti DAP, UPKO dan Amanah,” kata Junn dalam kenyataan.
Minggu lalu, pada majlis pelancaran jentera PKR Sabah Nurul Izzah membayangkan parti itu akan bertanding sebanyak 13 kerusi DUN.
Pengumuman itu dianggap sesetengah pihak sebagai mencampuri urusan politik Sabah dan tidak menghormati Perjanjian Malaysia (MA63) yang memberi pelbagai autonomi kepada negeri itu termasuk dalam politik.
“Pengumuman yang dibuat oleh Nurul Izzah sama sekali tidak mengenepikan autonomi PKR Sabah. Proses rundingan kerusi diberi sepenuhnya kepada PKR dan PH Sabah, dan keputusan muktamad hanya akan diumumkan oleh presiden selepas rundingan dimuktamadkan.
“Tindakan Anuar Ghani jelas dilihat sebagai cubaan menunggang sentimen tempatan, walhal PH sentiasa membuka ruang kepada parti-parti tempatan yang ingin bekerjasama,” katanya.
Tambah beliau, walaupun PKR menyasarkan antara 10 hingga 14 kerusi, sasaran tersebut turut merangkumi penyertaan sekurang-kurangnya 30% calon wanita, selaras dengan komitmen parti terhadap kepimpinan inklusif.
“Bagi pemilihan calon pula, PKR mempunyai jawatankuasa penilai KPI bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak dan berwibawa diangkat untuk bertanding, di samping kesiapsiagaan jentera yang terus diperkukuh.
“Dengan sokongan rakyat dan pencapaian Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yakin PKR bersama PH akan berjaya menambah bilangan kerusi yang dimenangi pada PRN Sabah yang akan datang,” kata Ketua Wanita PKR Sipitang itu lagi.
Sumber: Suara Keadilan
