KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjual 3,334 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat semalam.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada jumlah itu, 2,414 set borang dijual melalui Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sabah, manakala 920 set lagi dijual melalui Pejabat Pegawai Pengurus (RO).
Hari penamaan calon bagi PRN ke-17 Sabah yang mempunyai 73 kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) akan diadakan esok, manakala tarikh pengundian awal pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Ramai pemerhati menjangkakan PRN Sabah kali ini akan merupakan yang paling meriah dari segi jumlah calon.
Penyertaan calon Bebas juga dijangka bertambah berbanding PRN yang lalu.
Untuk rekod pada PRN16 seramai 447 calon bertanding dengan 56 daripadanya atas tiket Bebas.
