KOTA KINABALU: Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen Labuan susulan Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April 2025 yang membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan Dato Indera Suhaili Abdul Rahman terhadap BERSATU.
Dalam satu kenyataan, pada Selasa, Ronald menjelaskan memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman maka alasan yang dijadikan sandaran oleh Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan kerusi Parlimen Labuan dan menolak permohonan beliau dalam surat terdahulu bertarikh 9 Julai 2024, sudah tidak lagi relevan dan terpakai.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran itu berkata lagi, Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan.
“Speaker perlu membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat ketetapan untuk suatu PRK diadakan segera,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan FMT melaporkan Suhaili mengesahkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang membatalkan writ saman dan penyata tuntutannya terhadap BERSATU.
