KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang mendakwa Kerajaan Negeri menghidap ‘penyakit lima serangkai’ jelas satu bentuk retorik politik berapi-api, tanpa sebarang solusi untuk rakyat.
Jelas Nizam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menafikan Sabah berhadapan cabaran besar, khususnya isu air, elektrik dan pembangunan tanah.
Namun katanya, berbeza dengan pendekatan politik serangan semata-mata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sedang melaksanakan pelan pembangunan nyata di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“SMJ memberi tumpuan kepada infrastruktur asas, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri. Cabaran yang dihadapi Sabah adalah legasi berpuluh tahun dan tidak akan selesai dengan hanya politik retorik,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Nizam berkata, lebih membimbangkan, retorik ‘angkat senjata politik’ yang dilaungkan Bersatu mencerminkan budaya politik konfrontasi, seolah-olah mahu menjadikan Sabah gelanggang percubaan kuasa untuk agenda Perikatan Nasional (PN) menuju Putrajaya.
“Malah Ronald sendiri mengakui di Perhimpunan Agung Bersatu bahawa kemenangan di Sabah hanya ‘permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung’. Ini membuktikan Sabah bukan matlamat perjuangan mereka, tetapi sekadar batu loncatan kuasa.
“Perlu juga diingat, Presiden Bersatu pernah memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Namun dalam tempoh itu, isu-isu besar rakyat Sabah seperti kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pelaksanaan penuh hak MA63 masih tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Peluang yang ada tidak dimanfaatkan untuk membawa perubahan nyata kepada Sabah. Kini selepas hilang kuasa, Bersatu kembali dengan retorik dan janji baharu yang tidak lebih daripada mengulangi kegagalan lama,” katanya.
Tambah beliau, PN yang kononnya mahu menjadikan Sabah sebagai ‘gelanggang pertama’ sebenarnya rapuh apabila teguran terbuka daripada PAS, jelas menunjukkan Bersatu sering membuat keputusan secara solo tanpa konsensus.
“Penganalisis politik turut menyebut PN masih ‘mencari pusat graviti’. Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan yang ketara?
“Kenyataan seolah-olah Sabah hanya akan dibantu apabila Bersatu kembali menjadi kerajaan adalah tidak berasas. Fakta sebenar menunjukkan kerajaan negeri hari ini telah pun mendapat pelbagai sokongan daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk peruntukan pembangunan, projek infrastruktur serta komitmen pelaksanaan MA63.
“Membuat dakwaan sebaliknya hanyalah retorik politik Bersatu untuk menutup kegagalan mereka ketika diberi peluang berkuasa dahulu. GRS menolak politik ugutan dan dendam.
“Adakah Datuk Seri Ronald Kiandee lupa pada PRU15 beliau begitu terdesak untuk menjadi calon GRS sehingga meminta konsensus bersama Barisan Nasional pada ketika itu dilanggar? Apakah kerana gagal menjadi calon GRS, Ronald kini begitu berdendam dengan kepimpinan GRS?,” katanya.
Justeru jelas Nizam, rakyat Sabah kini cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya mahu menjadikan Sabah batu loncatan kuasa ke Putrajaya.
Tegasnya, GRS kekal fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan untuk semua rakyat Sabah. – Utusan Borneo