Bersinarkah bintang Priscella Peter di Melalap?

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dilihat sebagai bintang baharu yang kehadirannya akan memberi impak pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 nanti.

Walaupun disifatkan masih mentah, namun gadis berusia 27 tahun itu setakat ini diterima baik oleh rakyat di DUN Melalap, yang diwakili bapanya Datuk Peter Anthony, yang kini menjalani hukuman penjara.

Berpendidikan Ijazah Sarjana Perakaunan dari Curtin University, Australia, Priscella mula berkecimpung dalam politik pada 2023 apabila dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden KDM. Karier politiknya berkembang selepas bapanya dipenjara, dan kepimpinan tertinggi KDM sebulat suara memilihnya untuk memangku jawatan presiden parti.

Selain menerajui parti, Priscella turut meneruskan tugas Peter di Melalap, terutama dalam melaksanakan program kebajikan di kawasan tersebut.

Beliau hampir pasti diturunkan oleh parti KDM untuk mempertahankan DUN Melalap.

Namun menurut Info X laluan yang menanti Priscella dijangka tidak mudah, kerana diramalkan berdepan calon berpengalaman daripada parti-parti utama.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mencabar di Melalap ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N42 Melalap Datuk Jamawi Jaafar, yang dikhabarkan bakal ‘dipinjamkan’ kepada PKR untuk bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan.

Turut dilaporkan berminat ialah pemimpin Upko, Junik B. Bajit. Parti lain yang dijangka turut turun gelanggang termasuk Warisan, STAR serta beberapa parti kecil dan calon bebas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *