KUALA PENYU: UMNO Bahagian Beaufort sentiasa berusaha untuk menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan usaha demi keselsaan rakyat dalam pelbagai aspek.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, menzahirkan keprihatinan terhadap pendidikan anak-anak luar bandar melalui program sumbangan pendidikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) baru-baru ini yang diadakan di sini.
“Yayasan Pelajaran MARA telah menyalurkan Skim Bantuan Persekolahan kepada pelajar-pelajar terpilih bagi membantu meringankan beban keluarga dalam persiapan sesi persekolahan yang akan datang.
“Pendidikan adalah asas kejayaan bangsa. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam memperkasakan masa depan anak-anak luar bandar, agar mereka tidak tercicir dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya. Yang juga Pengerusi BN Parlimen Beaufort merangkap Penyelaras BN DUN N.33 Kuala Penyu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Beaufort / Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Juriffah Safflie; Ketua Sekretariat YPM Parlimen Beaufort /Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Timbalan Ketua Sekretariat YPM / Ketua Puteri UMNO Bahagian, Munira Sarrie; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Awang Damit Jion serta masyarakat tempatan.
Dalam kesempatan lain, Awang Aslee turut bersama-sama kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi meninjau persiapan Program Jelajah Agrikomoditi Madani, yang bakal dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ujar Awang Aslee, program tersebut diadakan hari ini, 1 Nov bertempat di Dewan Kampung Bundu Tarah, Kuala Penyu.
“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan program ini apatah lagi pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran agrikomoditi, peluang perniagaan serta ruang interaksi bersama agensi-agensi kerajaan sepanjang program tersebut.
“Program seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap potensi sektor agrikomoditi yang mampu menjana ekonomi tempatan, khususnya di kawasan luar bandar,” tambah beliau.
Tegasnya lagi, UMNO/BN Beaufort kekal komited untuk menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat dengan dasar kerajaan Madani serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan yang dilaksanakan. – UMNO Online
