KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN Sabah) berhasrat bertanding 48 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah (PRN17) akan datang dengan menurunkan 81 peratus calon muka baharu, di mana 50 peratus daripadanya adalah golongan muda.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu adalah usaha memperkukuh imej BN Sabah sebagai wadah politik yang lebih segar dan progresif dalam mendepani aspirasi rakyat negeri ini.
Bung Moktar juga menyatakan 30 peratus daripada calon BN terdiri daripada wanita.
Beliau berkata, senarai penuh calon dan agihan kerusi akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya BN dan kita akan melancarkan janji tawaran baharu iaitu ‘Rancangan Pembangunan Sabah 1’ kepada rakyat negeri Sabah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di sini pada Isnin.
Bung Moktar, yang juga Ketua UMNO Sabah menegaskan partinya kini berada dalam ‘mood’ bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi PRN nanti.
Katanya, BN Sabah memberi tumpuan kepada pemilihan calon yang berwibawa, setia dan tidak mudah goyah walaupun berada dalam tekanan politik.
Fokus itu bagi mengelak berulangnya situasi lompat parti seperti yang pernah berlaku selepas PRN lalu.
Kredit foto: FB Bung Moktar Radin
