LAHAD DATU: Barisan Nasional (BN) Lahad Datu menegaskan bahawa penyebaran semula video lama yang dikaitkan dengan parti itu merupakan cubaan terdesak pihak tertentu untuk memburukkan imej BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17).
Ketua Penerangan BN Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said, berkata video berkenaan sebenarnya adalah rakaman lama berkaitan pemilihan terdahulu dan isu tersebut telah pun diselesaikan secara baik ketika itu.
“Cubaan pihak tertentu untuk ‘recycle’ video lama ini jelas bertujuan meraih perhatian, mengelirukan rakyat, dan mencetus persepsi negatif terhadap BN. Namun, rakyat Lahad Datu kini sudah bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda sedemikian,” tegasnya.
Menurut beliau, BN tidak akan goyah dengan serangan berbentuk persepsi atau isu lama yang dimainkan semula kerana tumpuan kini adalah untuk memperkukuh gerak kerja parti menjelang PRN17.
“Sebaliknya, BN kini lebih bersedia berbanding sebelum ini. Jentera pilihan raya kami kuat, teratur dan fokus dengan barisan calon yang mantap serta strategi yang tersusun rapi,” katanya.
Muhamad Gadzali turut menegaskan bahawa BN Lahad Datu kekal bersatu dan berkeyakinan tinggi untuk membawa kemenangan kepada rakyat.
“Rakyat Lahad Datu tidak akan termakan dengan cerita lama yang cuba diulang. BN kekal bersatu, fokus, dan yakin untuk membawa kemenangan,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online
