TAWAU: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup minyak diesel bersubsidi tumpas selepas lori tangki yang dipandunya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Felda Umas, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, pasukan operasi yang menjalankan serbuan khas berdasarkan maklumat awam berjaya mengesan lori terbabit sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan suspek berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa anggaran 17,000 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng untuk tujuan penyeludupan.
“Lelaki berusia 28 tahun yang berada dalam lori berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan lori tangki dianggarkan bernilai RM296,550,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran sah.
Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi membanteras penyeludupan di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menyeleweng barang bersubsidi,” katanya. – Utusan Borneo
