LAHAD DATU: Empat individu dipercayai tersesat selepas gagal dihubungi sejak masuk ke hutan di Tamaco Tungku, di sini, Khamis lalu.
Kehilangan semua mangsa hanya disedari kira-kira jam 2 petang, kelmarin, selepas sepupu salah seorang mangsa hilang dihubungi penyelia tempat kerjanya.
Penyelia terbabit memaklumkan salah seorang mangsa hilang yang dikenali sebagai Fendery Ani, 37, tidak hadir bekerja pada pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.02 pagi semalam.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu terima panggilan kecemasan dari Balai Polis Tungku yang mohon bantuan mencari orang hilang.
“Menurut laporan polis yang dibuat oleh sepupu mangsa, mangsa bersama tiga rakannya masuk ke hutan pada 8 Mei lalu untuk mencari hasil hutan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurutnya, sehingga Isnin, semua empat mangsa masih belum pulang dan usaha menghubungi mangsa menggunakan telefon juga tidak dijawab.
Katanya, pasukan bomba sudah ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lengkap dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Maklumat tiga rakan mangsa belum dapat diperolehi dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Nabalu News
