LAHAD DATU: Empat nelayan ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan di perairan Pulau Tabawan, Kunak, kelmarin.
Semua nelayan masing-masing berusia 27 hingga 39 tahun itu ditahan pasukan ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, kira-kira jam 11.45 pagi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Dzulfikhar Ali berkata pihaknya yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan sebuah bot pukat jerut bilis pada kedudukan 0.4 batu nautika utara Pulau Timbun Mata, Kunak.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama dua kru warga Filipina serta seorang kru tempatan dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan terlalu dekat dengan daratan.
“Bot dan semua kru ditunda ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perikanan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui aplikasi WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Utusan Borneo
