Hak 40 peratus Sabah: Kejayaan untuk rakyat Sabah, terima kasih SLS – Priscella

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan sebagai kejayaan untuk rakyat Sabah.

Katanya, rakyat Sabah sudah sekian lama menuntut pengiktirafan penuh hak yang terkandung dalam MA63 serta pelaksanaannya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sabah Law Society (SLS) susulan kejayaan dalam kes itu sambil mengatakan keputusan mahkamah menekankan jaminan yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan.

“Keputusan ini menjadi satu sejarah, bukan hanya untuk golongan peguam, tetapi untuk seluruh rakyat Sabah yang percaya dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau turut berharap, peguam negara tidak merayu terhadap keputusan itu selain Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan kewajipannya kepada Sabah.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Sabah Law Society memfailkan semakan kehakiman pada 2022. – Jesselton Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *