Kegagalan pertahan TSGP punca krisis elektrik Sabah – Suhaimi Nasir

LIBARAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menyifatkan krisis gangguan bekalan elektrik berulang yang dialami rakyat Sabah hari ini berpunca daripada kegagalan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan Projek Paip Gas Trans Sabah (TSGP) ketika era pentadbirannya.

Menurut beliau, gangguan elektrik yang semakin serius di seluruh negeri daripada Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan hinggalah ke daerah lain bukanlah isu baharu, sebaliknya manifestasi kelemahan dasar tenaga pada masa lalu.

“Antara titik penting yang tidak boleh dilupakan ialah keputusan kerajaan era Shafie pada tahun 2018 yang tidak mempertahankan TSGP bernilai RM4.06 bilion, walaupun projek ini dilancarkan pada 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suhaimi menjelaskan, TSGP sepanjang 662 kilometer dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau itu dibatalkan meskipun ketika itu sebanyak RM3.5 bilion atau 88 peratus daripada kos projek sudah dibayar, sedangkan hanya 13 peratus kerja fizikal disiapkan.

“Sebagai Ketua Menteri ketika itu, Shafie bukan sahaja gagal memperjuangkan kepentingan Sabah, malah mengalu-alukan pembatalan projek tersebut dengan alasan kekangan kewangan kerajaan Persekutuan. Sedangkan, jika projek ini diteruskan, ia bakal menjadi pemangkin utama kepada kestabilan tenaga di Pantai Timur Sabah termasuk Kinabatangan,” jelasnya.

Beliau menambah, kelemahan tersebut ditambah pula dengan kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyelesaikan isu tenaga secara efektif, sekali gus menyebabkan rakyat terus berdepan dengan masalah bekalan elektrik tidak stabil dan gangguan berulang.

“Shafie tidak boleh melepaskan tanggungjawab moral dan politik dengan menyalahkan kerajaan kini. Rekod jelas menunjukkan masalah bermula daripada kegagalannya mempertahankan projek strategik yang telah digerakkan BN sejak 2016,” tegas Suhaimi.

Katanya, rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar supaya punca sebenar krisis dapat difahami, sekali gus membolehkan penyelesaian lebih mampan dirancang pada masa hadapan. – UMNO Online

One thought on “Kegagalan pertahan TSGP punca krisis elektrik Sabah – Suhaimi Nasir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *