Laporan tidak tepat, calon belum diputuskan – Liew

TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan laporan sebuah portal yang mengaitkan dirinya menyokong mana-mana calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai adalah tidak tepat dan hanya bersifat spekulasi.

Beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau tidak rasmi mengenai sokongan terhadap mana-mana calon di kawasan berkenaan.

“Saya mengesahkan laporan media portal berkenaan adalah tidak tepat kerana saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan sokongan kepada mana-mana calon termasuk di Merotai,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai calon yang akan bertanding kerana perbincangan masih dijalankan.

“Keputusan calon hanya akan dibuat melalui perbincangan jawatankuasa yang terdiri daripada wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

“Di peringkat GRS pula, rundingan juga masih berlangsung dan pastinya akan menjaga kepentingan setiap parti komponen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada media kerana prihatin terhadap suara rakyat Merotai.

“Setidaknya suara orang kampung saya, Merotai, kedengaran sampai ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihak portal berkenaan telah mengakui berlaku kesilapan dalam laporan mereka dan berita itu hanya bersifat spekulasi semata-mata.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak terutama media supaya tidak menyiarkan sebarang laporan yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *