Manuskrip 650 tahun tarikan utama Kota Sufi Se-Nusantara 3.0

KOTA KINABALU: Manuskrip Islam berusia lebih 650 tahun bakal menjadi tarikan utama program Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos ini di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Manuskrip berharga itu dipercayai hasil tulisan tangan Syarif Aulia Karim Makhdum, tokoh sufi yang mengislamkan Abdullah di Teluk Darvel, Lahad Datu pada tahun 1408, sekali gus membuka lembaran awal sejarah Islam di Sabah.

Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Kefayatullah Malik Aman, berkata manuskrip bersejarah itu mengandungi penjelasan mengenai ilmu tauhid, tasawuf, Sifat 20, Nafi Isbat, amalan tarekat serta pengajaran kerohanian yang diwarisi turun-temurun oleh keturunan Abdullah.

“Kehadiran manuskrip ini memberi makna besar kepada sejarah Islam di Sabah kerana ia menghubungkan kita dengan warisan dakwah para ulama dan perjuangan tokoh sufi terdahulu,

“Selain itu, program itu turut menampilkan pameran tokoh ulama dan pendakwah Sabah yang banyak berjasa dalam perkembangan Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kefayatullah berkata, masyarakat Islam khususnya warga Sabah digalakkan hadir menyaksikan sendiri pameran bersejarah itu yang diyakini mampu memperkukuh ukhuwah serta semangat dakwah.

Program tiga hari anjuran PAKAS itu dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh Sabah dan rantau Nusantara dengan pelbagai pengisian rohani, ilmiah serta pameran sejarah Islam. – Utusan Borneo

2 thoughts on “Manuskrip 650 tahun tarikan utama Kota Sufi Se-Nusantara 3.0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *