Mutiara-GRS terus prihatin terhadap PPDK di Sabah

TUARAN: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS) terus memberi perhatian terhadap Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini.

Yang Dipertua badan amal itu Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, MUTIARA-GRS itu akan terus komited untuk menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dan Orang Kurang Upaya (OKU) di setiap daerah.

“Ini memberi semangat kepada saya dan semua ahli kami untuk menyantuni orang-orang yang kurang berkemampuan dan yang kurang upaya di setiap daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya juga berharap setiap PPDK di daerah seluruh negeri memberikan tumpuan sewajarnya kepada persatuan di daerah masing-masing agar anak-anak ini tidak terbiar dan ada tempat untuk mencapai kejayaan,” katanya kepada media dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDK Tuaran pada Khamis.

Juliah yang juga Penaung PPDK Tuaran turut menzahirkan penghargaan dan rasa bangga kepada warga PPDK Tuaran, apabila dimaklumkan salah seorang pelajar PPDK Tuaran berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada dua tahun lalu dan salah seorang lagi, berjaya merangkul pingat dalam Sukan Paralimpik di Sarawak.

Dalam majlis itu, Juliah turut menyantuni dan menyampaikan duit raya kepada para pelatih PPDK Tuaran yang berumur dalam lingkungan empat sehingga 39 tahun.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Biro Kebajikan Datin Seri Panglima Linda Ewit, Penolong Setiausaha Kehormat Datin Nurul Ililiyana@Doris Joprit dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar. -PENERANGAN/Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *