LAHAD DATU: Polis menahan lima individu dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran menerusi serbuan Ops Noda di sebuah hotel di daerah ini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, operasi bermula kira-kira jam 9.30 malam itu berjaya menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 18 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral ini dipercayai dijalankan sejak Mei 2025 dengan menggunakan aplikasi MiChat untuk mendapatkan pelanggan.
“Bayaran dikenakan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulbaharin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel dan kunci bilik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan sehingga enam kali,” jelasnya. – SNT
