PAS Sabah yakin boleh bantu kemenangan rakan politik

KOTA KINABALU: PAS Sabah yakin parti itu boleh membantu kemenangan rakan politik mereka di kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata pesuruhjayanya Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Keyakinan itu adalah berasaskan keahlian parti itu di negeri ini yang melebihi 20,000, dengan keanggotaan tertingginya dicatatkan di kawasan seperti Sepanggar, Tawau dan Putatan.

“Dengan kekuatan tersebut, PAS mampu memainkan peranan penting membantu kemenangan rakan-rakan politik di kawasan yang akan ditandingi,” kata beliau sebagaimana dilaporkan The Star.

Walau bagaimanapun menurut Aliakbar, PAS Sabah masih belum memuktamadkan lambang parti mana yang akan digunakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, walaupun PAS bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan, hubungan parti itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri kekal mesra.

“Kami juga sedang mempertimbangkan untuk bertanding di beberapa kerusi yang mempunyai kehadiran penyokong yang kuat,” katanya kepada media ketika menghadiri rumah terbuka Hari Raya anjuran PAS Sabah di Sepanggar pada Sabtu.

Beliau turut memberi bayangan mungkin meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

Tambahnya, parti itu perlu meneliti pendekatan paling sesuai berkaitan kerjasama politik dan penggunaan logo semasa PRN nanti.

Mengulas penerimaan rakyat terhadap PAS di negeri itu, beliau mengakui masih wujud sentimen negatif, namun berharap pengundi dapat menilai calon-calon PAS secara adil tanpa dipengaruhi persepsi lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *