Pelancaran Persatuan Ubian Kudat meriah, 2,500 ahli baharu daftar

KUDAT: Lebih 2,000 masyarakat Ubian membanjiri majlis pelancaran Persatuan Kebajikan Masyarakat Ubian Kudat yang berlangsung penuh meriah dengan warna-warni budaya, di sini kelmarin.

Majlis yang disempurnakan oleh Penaung Persatuan, Datuk Abdul Halim Yussof, bukan sahaja diraikan dengan pelbagai persembahan tradisi.

“Lebih membanggakan apabila kita menerima kejutan apabila lebih 2,500 borang permohonan ahli baharu diserahkan sebagai tanda sokongan masyarakat.

“Penubuhan persatuan ini bukan sekadar platform kebajikan, tetapi juga wadah mengangkat martabat budaya Ubian supaya terus dikenali dan diwarisi generasi muda,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di sini.

Antara acara yang mencuri perhatian adalah tarian tradisional Egal-Egal yang dipersembahkan dengan penuh semangat oleh anak-anak Ubian Kudat.

Lebih istimewa, Nurul Shafikah Jakirun diumumkan sebagai Duta Tarian Egal-Egal, disempurnakan oleh Datin Sitti Habibah Ebung, isteri penaung persatuan.

Majlis turut dimeriahkan dengan pameran makanan dan pakaian tradisional serta persembahan artis tempatan yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan, Elly Kassim Edin berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan masyarakat Ubian di Kudat menghargai usaha memperkasa persatuan.

“Kehadiran ribuan masyarakat serta pendaftaran ahli baharu memberi semangat baharu untuk kami terus memperjuangkan kebajikan dan warisan budaya Ubian.

“Pelancaran ini dianggap titik tolak penting bagi masyarakat Ubian di Kudat dalam memperkukuhkan perpaduan, kebajikan, dan kelestarian budaya mereka,” jelas Elly Kassim. – SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *