PPRS sedia tanding 73 kerusi DUN, tolak kerjasama parti Malaya

TAWAU: Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) menegaskan komitmennya untuk meletakkan calon di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Keputusan itu sekali gus memberi isyarat jelas bahawa parti itu serius memperjuangkan suara rakyat tempatan tanpa bergantung kepada pengaruh luar.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Arshad Abdul Mualap berkata, keputusan itu selaras dengan matlamat PPRS sebagai parti tempatan yang benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat Sabah dan bukan ditaja oleh mana-mana pihak luar.

“Pendirian kita jelas sejak awal iaitu PPRS adalah parti lokal, milik orang Sabah, ditubuhkan untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah.

“Kita bersedia untuk meletakkan calon di semua kawasan DUN, malah kita mengalu-alukan anak muda Sabah tampil sebagai calon di kawasan masing-masing,” katanya selepas menghadiri Majlis Penerimaan Watikah PPRS Wilayah Zon 3, di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini PPRS sudah mengenal pasti beberapa calon berpotensi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional, pendidik serta generasi muda, selain menolak calon daripada kalangan bekas wakil rakyat.

“Kita utamakan kepimpinan baharu yang segar, berintegriti dan berwibawa. Biarpun ada juga calon berpengalaman dalam kalangan pesara, fokus kita tetap memberi ruang kepada anak-anak muda untuk tampil memimpin negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan membentuk kerjasama dengan parti politik dari Semenanjung selepas PRN, Mohd Arshad menegaskan pendiriannya untuk tidak bersama parti Malaya.

Katanya, dari awal sudah dinyatakan PPRS tidak akan berminat untuk bekerjasama dengan parti dari Semenanjung.

“Biarlah orang Sabah uruskan politik di Sabah, orang Sarawak uruskan politik di Sarawak, dan orang Malaya uruskan politik mereka di sana.

“Kita mahu Sabah ditadbir oleh orang Sabah sendiri tanpa campur tangan luar,” katanya.

Mohd Arshad berkata, PPRS ketika ini mempunyai keanggotaan lebih 20,000 orang di seluruh negeri dan angka itu diyakini mampu digerakkan untuk menggandakan sokongan rakyat menjelang PRN nanti.

“Walaupun jumlah ini kecil untuk membentuk kerajaan, kekuatan sebenar terletak pada gerak kerja akar umbi.

“Jika semua ahli aktif dan komited, saya yakin sokongan akan bertambah dan PPRS mampu menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, antara tawaran utama PPRS adalah melakukan pembetulan terhadap kelemahan pentadbiran lampau dengan menekankan aspek ketelusan serta keadilan dalam pembahagian hak rakyat Sabah.

“Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya mahu memastikan apa yang dituntut rakyat selama ini benar-benar diperjuangkan. Yang penting, kepimpinan mesti berubah demi masa depan Sabah,” katanya. – Utusan Borneo

One thought on “PPRS sedia tanding 73 kerusi DUN, tolak kerjasama parti Malaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *