PRN 17: Warisan di persimpangan

1. Parti Warisan (Warisan) memasuki gelanggang PRN Sabah ke-17 dalam kedudukan yang kompleks tetapi masih signifikan. Pembubaran DUN pada 6 Oktober 2025 menyebabkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, sekali gus memampatkan jadual kempen dan memerlukan keputusan yang pantas dalam soal jentera, calon dan mesej kempen.

2. Dalam landskap serba terpecah yang turut melibatkan GRS, BN, PH dan PN, Warisan memilih haluan solo; suatu langkah berani yang boleh menjadi pemangkin – atau penghadang -bergantung kepada disiplin jentera dan strategi pembahagian undi.

3. Dari sudut rekod, Warisan pernah mengetuai blok Warisan Plus dan memenangi 32 kerusi secara gabungan pada PRN 2020. Waktu itu ia menjadi parti tunggal dengan kerusi terbanyak tetapi gagal membentuk kerajaan susulan pembentukan GRS. Hakikat ini mengesahkan kapasiti asas Warisan sebagai parti yang berupaya bertarung di seluruh negeri, bukan sekadar parti kawasan timur Sabah.

4. Namun, pencapaian Warisan dalam PRU15 merosot apabila hanya berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen Sabah, menandakan litmus test terhadap jangkauan jenama dan keutuhan sokongan rentas demografi. Kedua-dua fakta ini menjadikan PRN kali ini sebagai persimpangan untuk Warisan, sama ada semakin pulih atau bertambah menguncup.

5. Kekuatan utama Warisan terletak pada kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta jaringan akar umbi yang lama dibinanya di Pantai Timur. Walaupun dituduh berpaksi di Pantai Timur, kepimpinan Warisan menegaskan pengaruh parti melangkaui kawasan itu dan masih menembusi Pantai Barat serta pedalaman.

6. Pilihan Warisan untuk bertanding solo menjadi pisau bermata dua. Di satu sisi, ia mengekalkan kejelasan jenama, mengelakkan konflik identiti dan membenarkan Warisan menawarkan ‘kontrak baharu’ tanpa kompromi. Di sisi lain, langkah ini meningkatkan risiko pertandingan tiga atau empat penjuru, mendorong perpecahan undi anti-kerajaan GRS dan boleh memudahkan kemenangan lawan dengan majoriti tipis.

7. Spekulasi mengenai pakatan telah dinafikan berulang kali oleh Warisan, manakala BN/UMNO Sabah turut menegaskan tiada kerjasama dengan Warisan; perkembangan ini menandakan akan berlakunya pertembungan ‘free-for-all’.

8. Momentum kemasukan ahli baharu dan figura tempatan yang ditonjolkan sejak pembubaran DUN memberi isyarat bahawa Warisan masih berupaya mencipta ‘angin’ di beberapa kawasan, khususnya apabila isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan akses perkhidmatan asas menjadi rungutan pengundi.

9. Di pihak lain, pergolakan dalam pakatan lawan seperti masalah pembahagian kerusi dalam GRS–PH berpotensi membuka ruang di beberapa DUN bandar dan separa bandar jika Warisan menampilkan calon berprofil kompeten serta mesej yang menghubungkan isu harian dengan solusi setempat. Namun, dakwaan ‘gelombang penyertaan’ perlu diterjemah kepada turnout sebenar bagi mengelakkan termasuk perangkap sendiri.

10. Kelebihan Warisan pada PRN ini boleh dirumuskan seperti berikut. Pertama, kapital jenama dan pengenalan kepimpinan: Shafie mempunyai recall yang tinggi dan jejak prestasi ketika mentadbir, yang boleh dieksploitasi untuk naratif kompetensi, kebersihan tadbir urus tempatan, serta rekod penyampaian di daerah-daerah tertentu. Kedua, akar umbi di Pantai Timur dan komuniti pesisir yang setia, yang menjadi teras kepada undi asas. Ketiga, naratif kenegerian Sabah yang konsisten, sesuai dengan sentimen autonomi yang meningkat ketika pengundi menilai keberkesanan pusat–negeri.

11. Namun kelemahan Warisan juga jelas. Pertama, prestasi PRU15 yang hambar menunjukkan batas jangkauan di kerusi campuran/urban. Kedua, keputusan bertanding solo meningkatkan kos peluang; tanpa laluan rundingan, Warisan terdedah kepada perangkap pecahan undi di kerusi 50–50. Ketiga, persepsi tentang episod lompatan dan percubaan penjajaran kuasa pasca-2020 masih menghantui sebahagian pengundi yang mahukan kestabilan.

12. Peluang Warisan pada PRN ini wujud dalam tiga kelompok kerusi: kerusi marginal Pantai Timur yang pernah dimenangi atau tewas tipis; kerusi bandar pinggiran di Pantai Barat yang menyaksikan ketidakpuasan terhadap penyampaian kerajaan negeri; dan beberapa kerusi pedalaman KDM yang terkesan oleh pecahan pakatan lawan.

13. Secara keseluruhan, Warisan masih mempunyai laluan kompetitif untuk mengangkat semula kedudukan, tetapi kemenangan majoriti sederhana memerlukan tiga syarat: disiplin dan pemilihan calon; cara membawa isu-isu rakyat, serta strategi mengelak pertembungan yang memecahkan undi pembangkang di kerusi sasaran. Jika langkah-langkah ini konsisten, Warisan berpotensi menambah kerusi berbanding PRU15 dan mengulangi daya saing setara PRN 2020 dalam bentuk baharu.

Oleh: Tulus Budiman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *