LIBARAN: Ketua Penerangan BNCom Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman, menegaskan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini wajar menjadi medan rakyat menilai kejujuran dan prestasi sebenar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukan sekadar terpedaya dengan angka serta slogan kejayaan yang dicanang.
Beliau mempersoalkan sejauh mana GRS layak diberikan peluang kedua, tatkala realiti kehidupan rakyat Sabah masih dibelenggu kadar pengangguran tertinggi di negara ini.
“Kerajaan GRS boleh mendabik dada dengan dakwaan kononnya mencapai 94 peratus kejayaan pelaksanaan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), namun rakyat hidup dalam angka yang lebih menyakitkan iaitu kadar pengangguran Sabah kini mencecah 7.7 peratus, tertinggi di Malaysia dan lebih dua kali ganda daripada purata nasional,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, di sebalik pelbagai promosi dan video kejayaan, hakikatnya anak muda Sabah terus terhimpit apabila ramai graduan terpaksa bekerja sambilan, menjadi pemandu e-hailing, atau berhijrah ke Semenanjung demi mencari rezeki.
“Jika ini hasil daripada 94 peratus kejayaan yang didakwa, maka Sabah sebenarnya sedang meraikan 94 peratus kegagalan moral dan intelektual sebuah kerajaan,” ujarnya.
Shariff Ismarhafiz berkata, GRS lebih cekap mengurus persepsi berbanding menyelesaikan masalah sebenar rakyat kerana dasar pembangunan tenaga kerja masih tidak selari dengan keperluan industri dan pelaburan bernilai tinggi gagal ditarik secara konsisten.
Beliau turut menyifatkan situasi yang dihadapi Sabah kini sebagai “kemiskinan peluang”, apabila negeri yang kaya dengan sumber tetapi miskin dengan ruang pekerjaan dan masa depan.
“Setiap tahun ribuan graduan dilahirkan, namun pasaran kerja tidak mampu menampung mereka. Ini bukan sekadar kegagalan ekonomi, tetapi pengkhianatan terhadap harapan generasi muda.”
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sabah memerlukan kerajaan yang berwawasan dan berani melakukan perubahan struktur termasuk menubuhkan Majlis Pembangunan Modal Insan Sabah bagi menyelaras pendidikan, TVET dan keperluan industri sebenar serta menarik pelaburan bernilai tinggi berasaskan teknologi dan digital.
“Rakyat sudah muak dengan angka kosmetik. 7.7 peratus bukan sekadar statistik – ia jeritan rakyat yang hilang keyakinan,” tegasnya.
Beliau juga menyeru rakyat Sabah agar menjadikan pembubaran DUN kali ini sebagai peluang untuk menghentikan kitaran kegagalan yang sama.
“GRS boleh terus mengangkat 94 peratus sebagai lambang kejayaan, tetapi sejarah akan mencatat bahawa itulah 94 peratus persepsi dan hanya 7.7 peratus realiti,” katanya lagi. – UMNO Online
