PRN Sabah: MPN Wilayah sedia bantu jentera di DUN Segama – Azman

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan komited membantu jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Lahad Datu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah pada 29 November depan.

Pengerusinya, Datuk Azman Abidin berkata, pihaknya telah diberikan amanah untuk menggerakkan usaha di kawasan tersebut.

”Kami sudah ke sana beberapa kali dan pasukan kami juga telah mengadakan beberapa program kecil bersama jentera pilihan raya DUN Segama.

”Insya-Allah kami akan hantar pasukan untuk berkampung di sana bagi membantu jentera parti menghadapi PRN.

”Daripada segi pengalaman, kami tidak menghadapi sebarang masalah kerana semua yang terlibat terdiri daripada individu berpengalaman.

”Namun jumlah yang akan digerakkan masih belum diputuskan memandangkan kos pengangkutan dan logistik sangat tinggi. Kemungkinan hanya jentera penting akan dihantar ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Keadilan selepas penyampaian sumbangan bantuan wang tunai kepada murid-murid cemerlang peringkat Parlimen Bandar Tun Razak, semalam yang turut dihadiri Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengenai kerusi di DUN Segama, Azman berkata hasil perundingan dijalankan, kerusi tersebut diperuntukkan kepada KEADILAN namun belum dapat mengesahkan sama ada akan berlaku pertukaran pada saat akhir.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, sebarang perubahan adalah tertakluk kepada pucuk pimpinan parti.

”Pada masa ini, walaupun calon utama kita adalah Ketua Cabang Lahad Datu, Romansa Lamin, tapi masih belum diumumkan secara rasmi.

”Cabang Wilayah Persekutuan memang fokus di kawasan tersebut, cuma saya sebagai Setiausaha Politik, saya diberikan arahan untuk melihat semua kawasan yang ditandingi KEADILAN.

”Semestinya kita berdepan dengan beberapa cabaran di sana, terutamanya berkaitan beberapa isu yang timbul sebelum ini dan kita cuba uruskan dengan baik.

”Buat masa ini, walaupun kempen rasmi belum bermula, semua parti politik sudah mula menggerakkan jentera masing-masing untuk mendekati para pengundi,” katanya sambil menerangkan situasi semasa di sana.

Ditanya mengenai peluang memenangi kerusi di kawasan yang ditandingi, Azman optimis parti itu mempunyai peluang yang baik dalam saingan kali ini.

Ujarnya, daripada 11 hingga 13 kerusi yang ditandingi KEADILAN, pihaknya akan berusaha untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.

”Kita mahu memenangi lebih daripada dua kerusi (sedia ada). Namun sasaran kali ini lebih tinggi.

”Kita tahu antara faktor kekuatan Pakatan Harapan (PH) kini adalah populariti PM Anwar sendiri di Sabah, yang sangat diterima oleh majoriti penduduk di negeri itu, terutamanya melalui kerajaan Malaysia MADANI,” ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak. – SUARA KEADILAN

 

 

Oleh: Akmal Manaf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *