KOTA KINABALU: UMNO Beaufort menuntut Pakatan Harapan (PH) segera menyatakan pendirian sama ada mahu kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, penjelasan itu penting kerana BN dan GRS kini berdepan sebagai lawan politik utama, manakala kedudukan PH kelihatan masih samar.
Katanya, sebagai contoh sekiranya BN dan GRS bertembung ke mana sokongan pengundi PH, adakah mereka akan bantu BN atau sebaliknya?
“Kita lihat PH akan untung besar…Kerana pada PRN nanti sudah tentu BN dan GRS akan membantu calonnya menang apabila bertanding nanti.
“Apa yang pasti, BN dalam keadaan serba salah, kerana jika BN dan GRS berentap disatu-satu DUN dalam PRN17 ini penyokong-penyokong PH mahu undi siapa, undi BN atau Undi GRS….PH kena ‘clear’ dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Awang Aslee merupakan Pengerusi BN Beaufort berkata, pihaknya tidak mahu PH menjadi ‘duri dalam daging’ yang akhirnya menikam BN dari belakang pada PRN Sabah ini.
Beliau menegaskan, isu itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi bersama PH, namun perlu diputuskan segera agar tidak menjejaskan strategi kempen.
“BN tidak boleh masuk gelanggang pilihan raya dengan rakan yang tidak konsisten.
“Akar umbi juga mahu kepastian supaya tidak berlaku perpecahan ketika berkempen,” tegasnya.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah, sebaliknya hanya bersama PH meskipun pernah mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Semalam Presiden UMNO itu sekali lagi menegaskan bahawa BN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN Sabah, kecuali GRS.