SEPANGGAR: Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sabah, Tan Sri Annuar Musa merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah kerana menjadi penyokong terawal kepada perjuangan Perikatan Nasional (PN) serta menjadi pemangkin kepada kelahiran semangat baharu politik Malaysia.
Beliau berkata, ini kerana sejarah kelahiran logo dan bendera PN bermula di negeri Sabah, bukannya di Semenanjung seperti yang sering disangka ramai.
Menurutnya, logo, nama dan parti PN mula-mula sekali digunakan dalam pilihan raya di negeri Sabah sebelum diperkenalkan di negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Ketika itu kita bimbang dan was-was sama ada orang kampung dapat mengenali logo baharu ini ataupun tidak kerana ia masih belum popular dan dikenali luas,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional N16 Karambunai di Kampung Unggun Jaya, kelmarin.
Namun jelasnya, walaupun terdapat keraguan pada awalnya, rakan-rakan parti dalam PN tetap menggunakan logo tersebut dalam kempen pilihan raya di Sabah.
“Barisan Nasional ketika itu memilih menggunakan lambang dacing, tetapi Perikatan Nasional berani mempertaruhkan logo baharu mereka kepada rakyat Sabah,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Beliau turut menyatakan rasa terima kasih kepada rakyat Sabah yang menjadi golongan pertama memberikan mandat dan kepercayaan kepada PN ketika parti itu masih baharu bertapak.
“Hasilnya, jumlah kerusi dimenangi PN di Sabah ketika itu lebih tinggi daripada BN, membuktikan penerimaan rakyat terhadap perjuangan PN,” ujarnya.
Annuar menegaskan bahawa ujian pertama PN yang berjaya di Sabah merupakan bukti bahawa rakyat negeri ini memainkan peranan penting dalam membentuk kekuatan parti berkenaan.
“Maknanya, Perikatan Nasional ini mula-mula lulus ujian politiknya melalui mandat rakyat Sabah sebelum dibawa ke Semenanjung,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY
