Semalam ada berita menarik di FMT. Ia tentang ‘gelombang hitam’ yang menurut judul berita itu akan meluaskan pengaruhnya di Sabah.
Politik Sabah dan gelombang memang berpisah tiada. Ia sentiasa berlaku terutama menjelang dan selepas pilihan raya.
Tetapi ‘gelombang hitam’ ini lain sedikit. Menurut berita itu ia gerakan politik bebas diasaskan Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.
Gerakan itu dilaporkan merancang untuk bertanding antara 10 hingga 15 DUN pada PRN Sabah tahun ini.
Dalam laporan itu Verdon dipetik sebagai berkata , gerakan gelombang hitam mampu mewujudkan blok kuasa ketiga dalam landskap politik Sabah dengan mengambil kira dinamik politik semasa.
“Walaupun gelombang hitam bukan sebuah parti tetapi kita perlu berdiri bawah satu prinsip atau ideologi dan juga manifesto sama,” katanya, yang merupakan wakil rakyat Bebas.
Kita tengok sejauh mana hebatnya gelombang itu. Apa yang pasti ia menjadikan politik Sabah mutakhir ini bertambah menarik.
Sekarang ini medan politik Sabah menjadi pentas yang terbuka. Tiada pihak boleh mendabik dada yang parti atau pasukannya yang paling kuat. Yang perasan kuat lain cerita.
Setakat ini yang nekad bertanding secara solo hanya Warisan dan KDM. Yang lain sedang mengintai dan merisik rakan untuk menjalin kerjasama. Yang menyorong diri untuk bekerjasama tetapi kurang disambut pun ada.
Sentimen parti lokal vs parti nasional yang masih menebal menambahkan lagi warna-warni politik Sabah. Demikian juga yang pro Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, dan yang menolaknya.
Semua ini memungkinkan bahawa menjelang PRN akan terbentuk beberapa blok baharu.
Jadi bukanlah pelik jika nanti Sabah yang sebelum ini terkenal dengan jumlah parti politik paling banyak akan terkenal pula kerana mempunyai banyak blok politik.
Bagus juga begitu. Biar negeri tidak kaya asalkan semangat berpolitiknya tidak miskin.
Oleh: Adikah Ini
