Sektor pelancongan Sabah semakin kukuh

KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah semakin menampakkan rekod positif apabila mencatatkan ketibaan pelancong yang semakin ramai sejak awal tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, Sabah merekodkan sebanyak 2.46 juta ketibaan pelancong dari Januari sehingga Ogos lalu.

Katanya ia adalah peningkatan 17.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu katanya, lebih 1.02 juta adalah pelancong antarabangsa, manakala 1.4 juta adalah pelancong domestik.

Katanya, ia adalah bersamaan 70.2 peratus daripada sasaran tahunan 3.5 juta ketibaan.

“Saya yakin angka ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran menjelang 31 Disember.

“Setakat ini, hasil pelancongan dianggarkan sebanyak RM5.75 bilion, meningkat 17.7 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menaiki bas pelancongan dua tingkat Hop-On, Hop-Off City Bus untuk meninjau perkhidmatannya di sini pada Isnin.

Christina berkata, Sabah kini mempunyai 14 destinasi penerbangan antarabangsa dengan 125 penerbangan mingguan melibatkan lebih 22,700 tempat duduk.

Katanya, pasaran utama yang mencatat pertumbuhan termasuk China, Jepun, Taiwan, Australia dan United Kingdom.

Beliau turut menyifatkan bas dua tingkat itu sebagai produk pelancongan baharu Sabah yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan domestik.

“Saya terinspirasi dengan bas pelancongan dua tingkat di London ketika menghadiri World Travel Market (WTM) pada 2023.

“Saya cabar Pengerusi KK Hop-On, Hop-Off Sdn Bhd, Datuk Tan Kok Liang untuk bawa konsep ini ke Sabah, dan hari ini ia menjadi kenyataan. Tahniah kepada syarikat kerana berjaya menjadikannya realiti,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu dijangka menjadi tarikan popular kepada pelancong yang ingin menikmati suasana bandaraya dan pemandangan laut dengan lebih santai.

Christina juga tidak menolak kemungkinan untuk memperluas laluan ke destinasi luar Kota Kinabalu seperti Taman Kinabalu dan Kota Belud.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan agensi berkaitan kerana memastikan bandaraya sentiasa bersih dan kondusif kepada pelancong. – Utusan Borneo

One thought on “Sektor pelancongan Sabah semakin kukuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *