LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala 13 lagi cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, awal pagi semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Kalma, 33, yang merupakan salah seorang penumpang dalam kenderaan tersebut.
Menurut maklumat awal, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terus menjunam ke dalam gaung.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5.53 pagi itu, terdapat 15 individu berada di dalam kenderaan berkenaan, terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi dan sepasukan enam anggota segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Semua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Pasukan kami kemudian membantu mengangkat kesemua mangsa ke atas jalan untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya lagi, kematian mangsa wanita disahkan di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala 13 lagi mangsa mengalami kecederaan.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Sabah Post
