KOTA KINABALU: Teka-teki terus menyelubungi kedudukan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu yang berlangsung malam tadi di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya.
Mesyuarat yang dihadiri oleh lapan presiden parti komponen GRS, termasuk Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dikatakan penting kerana membincangkan bukan sahaja tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, tetapi juga kedudukan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).
Jeffrey sebelum ini secara terbuka memberi amaran bahawa STAR akan menarik diri daripada GRS sekiranya gabungan itu tetap meneruskan pakatan dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, rakyat Sabah mahu GRS bergerak secara solo tanpa bergantung pada parti luar, dan STAR berpegang pada sentimen akar umbi itu.
Namun begitu, suasana selepas mesyuarat di Sri Gaya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan sekadar melambai tangan dan mengucapkan “Good night, bye” sambil tersenyum kepada media sebelum beredar pada jam 11.27 malam. Tiada kenyataan rasmi, tiada sidang media, dan tiada pengumuman mengenai keputusan mesyuarat itu.
Presiden-presiden parti lain termasuk Datuk Seri Joachim Gunsalam (PBS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO), Tan Sri Anifah Aman (PCS), Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Datuk Seri Liew Yun Fah (Harapan Rakyat), dan Datuk Chin Su Phin (LDP) turut meninggalkan Sri Gaya secara berperingkat tanpa sebarang ulasan.
Ketidakhadiran sebarang kenyataan bersama selepas mesyuarat itu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa wujud ketidaksefahaman dalam kalangan parti komponen, khususnya melibatkan pendirian STAR. Adakah Jeffrey akan benar-benar membawa STAR keluar daripada GRS seperti yang dibayangkannya sebelum ini? Atau adakah beliau masih menunggu saat terakhir untuk melihat arah angin politik sebelum membuat keputusan muktamad?
Buat masa ini, soalan itu masih tergantung. Apa yang pasti, sama ada GRS memilih untuk bergerak solo atau kekal dengan kerjasama bersama PH, keputusan itu bakal memberi kesan besar kepada corak politik Sabah menjelang PRN yang semakin hampir.