UMNO/BN Sabah perkukuh kesiapsiagaan, sedia jadi harapan rakyat – Sharif Musa

LAHAD DATU: Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah kini berada pada landasan yang lebih jelas serta tegas untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) apabila keputusan tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dimuktamadkan.

Menurut beliau, keputusan itu sekali gus merungkai keraguan akar umbi dan rakyat Sabah yang sekian lama menanti pendirian rasmi UMNO berhubung hala tuju politik di negeri ini.

“Rakyat Sabah dahagakan keputusan dan penyelesaian. Alhamdulillah, YAB Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah turun ke Sabah secara profesional, dan selepas mesyuarat dengan Biro Politik UMNO Sabah, telah disahkan bahawa Barisan Nasional tidak akan bersama GRS dalam PRN akan datang.

“Ini bukan sahaja melegakan ahli-ahli UMNO, malah memberi keyakinan baharu bahawa kita kini bergerak dengan langkah yang lebih mantap dan tersusun,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Sharif Musa menambah, UMNO Sabah mengambil kira keresahan akar umbi yang bimbang jika parti terus dikaitkan dengan pelbagai isu yang membelenggu GRS.

“Gelombang media rakyat sudah lama melanda GRS dengan pelbagai isu – kes Allahyarhamah Zara, isu rasuah lesen lombong mineral, masalah bekalan air, jalan raya, elektrik, isu ekonomi dan penempatan rakyat. Semua ini adalah kegelisahan nyata rakyat Sabah, dan kita tidak mahu UMNO terus terpalit,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh jentera UMNO dan BN untuk segera melipatgandakan persediaan, bukan sahaja dari segi gerak kerja di lapangan, tetapi juga penggunaan teknologi sebagai medium utama mendekati pengundi.

“PRN kali ini menuntut strategi yang lebih kreatif, inklusif dan pantas. Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial, aplikasi digital serta teknologi komunikasi bagi menyalurkan mesej UMNO dan BN secara tepat, terus ke hati rakyat. Inilah kesiapsiagaan yang akan memastikan kita tidak ketinggalan,” tegasnya.

Sharif Musa dalam masa yang sama menekankan, keputusan UMNO Sabah ini membuka lembaran baharu dalam perjuangan parti untuk benar-benar membela rakyat negeri ini.

“Sekarang tiada lagi keraguan. Akar umbi harus membuka kerangka minda, merapatkan saf perjuangan, dan bekerja keras memastikan UMNO dan BN terus mara ke hadapan. Kita perlu menjadi parti yang mendengar suara rakyat, menawarkan penyelesaian sebenar, dan membawa harapan baharu kepada Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO telah memutuskan tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, bagaimanapun kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *