UMNO Putatan nafi terlibat iklan palsu beli undi, laporan polis dibuat

PUTATAN: Barisan Nasional (BN) Bahagian Putatan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan mana-mana pihak dalam parti itu terhadap satu iklan palsu yang tular di media sosial memaparkan kononnya BN menawarkan pembelian undi secara dalam talian.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha UMNO Bahagian Putatan, Sharanin Hassan, pihaknya menegaskan bahawa BN Putatan tidak pernah mengeluarkan, menaja atau mempunyai sebarang kaitan dengan iklan berkenaan yang kini tersebar luas di platform Facebook dan TikTok menerusi akaun yang menggunakan nama “Putatan Kini”.

“BN P.173 Putatan tidak mengeluarkan iklan seperti yang telah diviralkan. Kami menafikan sekeras-kerasnya hebahan tersebut dan menegaskan bahawa ia adalah palsu. BN Putatan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut,” katanya berkaitan hal ini.

Beliau turut menasihati orang ramai khususnya para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Tanjung Keramat agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk hebahan atau tawaran mencurigakan yang menggunakan nama BN, UMNO atau mana-mana pemimpin tempatan parti itu.

“Kami percaya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencemar imej BN dengan menghasilkan iklan palsu berbentuk fitnah. Tindakan sebegini jelas berniat jahat dan boleh mengelirukan masyarakat menjelang musim pilihan raya,” tambah beliau.

Sehubungan itu, bagi memastikan isu ini disiasat secara menyeluruh, laporan polis telah dibuat oleh AJK UMNO Bahagian Putatan, pada jam 8.30 malam tadi di Balai Polis Daerah Putatan.

Jelas Sharanin, BN Putatan memohon pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera bagi mengesan dalang di sebalik penyebaran iklan palsu tersebut.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu ini. Fitnah seperti ini tidak hanya mencemarkan nama baik BN Putatan, tetapi juga boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat setempat.”

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar hanya merujuk kepada saluran rasmi UMNO dan BN bagi mendapatkan sebarang maklumat sahih berhubung aktiviti parti di kawasan Putatan.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO/BN Putatan komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat secara telus dan berintegriti, selaras dengan semangat perjuangan UMNO yang berteraskan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

“BN Putatan akan terus memperjuangkan agenda rakyat dan menolak sebarang bentuk politik fitnah serta penipuan media sosial. Kami menyeru semua ahli dan penyokong agar kekal tenang, tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, dan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *