UMNO Sabah tegas pertahan autonomi, “Langkah Kinabalu” bukan pengkhianatan – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan UMNO Pusat menghormati autonomi politik UMNO Sabah.

Beliau berkata, keputusan itu adalah pengiktirafan bahawa suara, maruah dan hak rakyat Sabah mesti ditentukan oleh UMNO Sabah sendiri.

“Langkah Kinabalu bukanlah pengkhianatan, sebaliknya ikhtiar bermaruah kerana kepimpinan Hajiji Noor telah gagal, rapuh dan tidak berintegriti,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal ini.

Menurut Bung Moktar, pengkhianatan sebenar bermula sejak hari pertama jemaah menteri Sabah mengangkat sumpah di Istana Negeri apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, didakwa menukar jawatan yang telah dipersetujui tanpa pengetahuan UMNO.

“Di istana pun dia boleh menipu! Ketika itulah GRS menunjukkan wajah sebenar mereka iaitu politik muslihat dan penipuan. Bagai musang berbulu ayam, berpura-pura setia tetapi rakus mencakar kuasa,” katanya.

Beliau turut mencabar kepimpinan negeri termasuk Ketua Menteri atau wakilnya, Nizam Titingan, untuk berdebat mengenai isu “Langkah Kinabalu”.

“Kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu subuh tetapi takut turun ke gelanggang. Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” tegasnya.

Dalam lawatannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada Ahad, Bung Moktar menyatakan keyakinan BN akan kembali merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

“BN Sabah tidak pernah lari daripada prinsip. Kami tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat, tidak akan bersekongkol dengan penipuan, dan tidak akan tunduk kepada kerakusan kuasa,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO/BN Sabah adalah untuk mempertahankan maruah parti dan rakyat.

“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Biarlah nama UMNO BN Sabah kekal harum kerana mempertahankan maruah, bukan busuk kerana bersekongkol dengan pengkhianatan,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *