UMNO tangguh PAU, tumpu PRN Sabah

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadual pada Ogos ditunda kepada 26 hingga 29 Nov, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam tadi.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pada Mac lepas, Mesyuarat MT UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung tahun ini adalah dari 20 hingga 23 Ogos depan.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 Nov tahun ini, yang membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *