Anak bekas MP Sepanggar sertai Warisan

KOTA KINABALU: Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, OKK Edna Majimbun menyerahkan borang keahlian dan seterusnya menyertai parti Warisan semalam.

Beliau merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Sepanggar selama dua penggal (2004-2013), Datuk Eric Majimbun.

Eric juga pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).

Dengan penyertaan itu Edna, 47, disebut-sebut berkemungkinan dicalonkan oleh Warisan untuk bertanding di DUN Inanam, yang kini diwakili Datuk Peto Galim, dari PH-PKR.

Walau bagaimanapun menurut The Star, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, masih belum tiba masanya untuk mengumumkan kerusi atau calon.

“Masa akan tiba… bukan untuk diumumkan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kerana bimbang sekiranya nama calon diumumkan lebih awal, ia boleh membuka ruang untuk parti lain merebut atau membeli calon mereka.

Walau bagaimanapun Mohd Shafie berkata, keahlian baharu daripada Edna adalah penting untuk parti dari segi kepimpinan muda dan keterangkuman gender.

Sementara itu Edna berkata beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini.

Beliau memilih untuk menceburi politik kerana merasakan sudah tiba masanya rakyat Sabah bersatu.

“Dan saya rasa Parti Warisan adalah satu-satunya parti yang boleh menyatukan kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *