GRS, UMNO-BN dijangka bertembung PRN-17 – Masiung

SANDAKAN: Pertembungan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dijangka tidak dapat dielakkan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, keadaan itu mungkin akan berlaku, meskipun belum ada keputusan rasmi sama ada GRS akan bergerak solo atau menjalin kerjasama dengan parti nasional.

Katanya, soal kerjasama politik adalah hak mutlak pucuk pimpinan parti dan tidak wajar diputuskan secara sendiri oleh mana-mana pihak di peringkat akar umbi.

“Sama ada GRS akan bergabung dengan parti nasional atau sebaliknya, biarlah ia ditentukan oleh pucuk pimpinan. Pemimpin bahagian tidak sepatutnya membuat andaian atau kenyataan yang boleh mengelirukan jentera dan penyokong.

“Namun yang pasti, pertembungan dengan UMNO dan BN pada PRN-17 ini sukar dielak,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Pejabat Gagasan Rakyat Sukau, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting yang juga Timbalan Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat, Datuk George Hiew Vun Zin.

Masiung yang juga Pengerusi Penyelaras Zon 10 berkata, lawatan itu bertujuan meninjau persiapan jentera parti di peringkat kawasan menjelang PRN-17 selain memberi semangat kepada kepimpinan di bahagian Sukau.

Menurutnya, walaupun Gagasan Rakyat dijangka bertanding dalam kedudukan ‘underdog’ di kawasan itu, namun beliau percaya dengan persiapan rapi dan kesungguhan jentera, keputusan luar jangka mampu dicapai.

“Saya yakin jentera Gagasan Rakyat di Sukau boleh membuat kejutan. Tapi saya ingatkan supaya jangan terlalu bergantung pada laporan atas kertas.

“Pemimpin kanan perlu turun padang, lihat sendiri gerak kerja jentera dan menilai kekuatan sebenar di lapangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Masiung turut menasihati semua sayap parti termasuk Pemuda, Wanita dan Beliawanis agar memainkan peranan aktif dalam menangkis tohmahan serta fitnah pembangkang yang semakin rancak menjelang PRN.

Katanya, meskipun pembangkang terus memainkan naratif ‘kerajaan gagal’, namun pencapaian yang direkodkan kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan sebaliknya.

“Hasil negeri mencatat peningkatan ketara setiap tahun dan sehingga kini berjaya mencapai hampir RM10 bilion. Ini satu pencapaian bersejarah yang tidak pernah dicapai kerajaan terdahulu termasuk BN dan Warisan.

“Rakyat boleh menilai sendiri pencapaian GRS dalam tempoh singkat ini yang jauh lebih baik berbanding pencapaian kerajaan sebelum ini,” katanya.

Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata, peningkatan kutipan hasil itu adalah bukti dasar GRS yang berorientasikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar retorik politik.

Katanya, PRN-17 adalah medan penting untuk rakyat Sabah menentukan hala tuju masa depan negeri ini, sama ada mahu terus bersama pentadbiran yang stabil dan progresif atau kembali kepada politik lama yang sarat dengan kepentingan kelompok tertentu.

“Jangan beri peluang kepada mereka yang pernah gagal mentadbir. Jentera Gagasan Rakyat perlu kekal fokus, berdisiplin dan bersatu demi memastikan kemenangan GRS terus dipertahankan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *