KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan bahawa parti keramat itu tidak pernah ditolak rakyat apatah lagi kalah dalam pilihan raya negeri, sebaliknya kerajaan yang terbentuk pada tahun 2018 adalah hasil pengkhianatan beberapa wakil rakyat yang melompat parti.
Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Alfian Sambas, berkata dakwaan Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo bahawa UMNO sudah hilang dominasi politik di negeri ini merupakan kenyataan songsang dan berniat menipu rakyat.
“Pertama sekali, UMNO Sabah tidak pernah kalah. Fakta sebenar, pada malam PRU-14 BN bersama STAR sudah pun membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Namun pada 12 Mei 2018, enam ADUN BN melompat menyertai Warisan dan menyebabkan kerajaan bertukar tangan.
“Itu bukan kemenangan, itu pengkhianatan. Rakyat tidak pernah menolak UMNO, yang khianat ialah wakil rakyat yang menjual mandat demi jawatan,” tegas beliau dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut Alfian, George Teo cuba menutup sejarah sebenar apabila mendakwa kononnya rakyat menolak UMNO pada 2018, sedangkan realitinya kerajaan yang terbentuk selepas itu hanya mendapat kuasa selepas lompatan politik beberapa ADUN BN bersama UPKO serta parti lain.
“Lucunya, George mahu mengajar UMNO tentang politik Sabah, padahal parti yang beliau sokong hari ini wujud atas dasar politik tebuk atap. UMNO tidak pernah menjual prinsip. Menuduh UMNO rakus kuasa ibarat menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri.
“GRS hari ini berdiri atas asas pengkhianatan, bukannya mandat rakyat. Kalau tidak ada lompatan politik, kerajaan itu tidak akan wujud,” katanya.
Beliau turut mengingatkan George bahawa kerusi Kiulu tidak mungkin kekal tanpa sokongan dan kerjasama BN.
“Jangan angkuh, seolah-olah kemenangan itu milik mutlak parti beliau. Hakikatnya, UMNO BN mempunyai strategi dan struktur tersendiri. Kita belajar daripada sejarah. PRN-17, BN tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama,” ujarnya.
Jelas Alfian lagi, parti yang hanya menang beberapa kerusi tetapi kemudiannya ‘merayu-rayu’ mencari kerjasama untuk membentuk kerajaan tidak boleh dianggap sebagai parti bermaruah.
“Pesanan untuk George Teo, jangan jadi bodoh sejarah. UMNO Sabah tidak pernah kalah. Yang kalah ialah integriti mereka yang melompat demi jawatan. Yang ketinggalan bukan UMNO, tetapi pemimpin picisan yang hidup atas sisa politik orang lain,” katanya lagi. – UMNO Online