PRN Sabah: DAP sasar tanding 10 kerusi

KOTA KINABALU: DAP Sabah menyasarkan lebih daripada 10 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), kata timbalan pengerusinya Datuk Chan Foong Hin.

The Star dalam laporannya semalam memetic Chan sebagai berkata keputusan itu dibuat semasa retreat negeri parti baru-baru ini namun masih tertakluk kepada perbincangan bersama rakan gabungan di bawah pakatan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

DAP juga, kata Chan, berhasrat mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimilikinya, iaitu Tanjong Papat, Kapayan, Likas dan Luyang, serta dua kerusi di mana wakil rakyatnya telah berpaling tadah kepada Warisan, iaitu Sri Tanjong dan Elopura.

Dalam pilihan raya negeri yang lalu, DAP Sabah bertanding di tujuh kerusi.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam PRN, Chan berkata pembahagian kerusi muktamad bergantung kepada kata sepakat dalam kalangan parti PH.

“Setelah terdapat kata sepakat dalam Pakatan mengenai pembahagian kerusi, barulah kita boleh memulakan rundingan rasmi dengan gabungan-gabungan lain,” katanya pada Isnin.

Selain DAP, gabungan PH di Sabah turut merangkumi PKR, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan Parti Amanah Sabah.

Dalam pilihan raya negeri 2020, DAP bertanding di bawah logo Warisan, manakala PKR dan Upko menggunakan lambang parti masing-masing, dan secara kolektif memenangi sembilan kerusi.

Chan berkata PRN akan datang dijangka lebih rumit berbanding pilihan raya 2020, dengan melibatkan tiga blok utama – pakatan Pakatan-Barisan, GRS dan Warisan.

“Bagi kumpulan lain, memang ada minat untuk bekerjasama tetapi untuk merasmikan perbincangan tersebut memerlukan masa,” katanya.

Chan berkata, buat masa ini, semuanya masih terbuka.

“Tiada apa yang telah dimuktamadkan. Setiap gabungan perlu menyelesaikan kata sepakat dalaman sebelum boleh bergerak ke hadapan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *