PRU DUN Sabah dijangka dihujani kandungan AI – Fahmi

TAWAU: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi peringatan awal mengenai potensi penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17.

“Kita jangkakan PRU DUN Sabah nanti akan dihujani kandungan berasaskan AI termasuk yang tidak dibenarkan.

Jadi, saya pesan awal kepada semua pihak, bertandinglah secara sihat dan jangan bergantung kepada fitnah untuk cuba memenangi pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Sumbangan Kasih@HAWANA di Tawau, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Datuk Fahmi juga memaklumkan, pertemuan bersama pihak TikTok telah diadakan bagi memperkukuh kawalan kandungan melalui moderator.

Namun, cabaran lebih besar menurutnya adalah penularan ‘deepfake’ di aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Telegram.

“Semua pihak perlu bersiap siaga agar teknologi baharu tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan ketenteraman awam,” tegasnya.

Dalam masa terdekat, perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan diadakan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi ancaman jenayah siber sepanjang PRU DUN Sabah. – Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *