Sokongan belia semakin kukuh terhadap GRS – Nizam

TAWAU: Golongan belia dijangka menjadi penentu kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sokongan anak muda terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semakin kukuh hasil pelaksanaan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.

“Alhamdulillah, saya lihat sendiri bagaimana anak muda di DUN Apas tampil memberi sokongan kepada kerajaan kerana mereka nampak hasil nyata daripada SMJ, terutama dalam pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan belia,” katanya di sini semalam.

Menurut Nizam, laporan Institut Kerjasama Kerajaan Rakyat (IKRAR) menunjukkan penglibatan belia semakin meningkat seiring dengan penurunan kadar pengangguran di Sabah daripada 8.5 peratus pada 2021 kepada 6.7 peratus.

Katanya, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program FELO SMJ, bantuan usahawan muda, geran NGO belia, sokongan pendidikan dan peluang pekerjaan untuk memastikan anak muda terus mendapat manfaat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan belia supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat di media sosial.

“Amalkan sikap tabayun sebelum sebarkan sesuatu berita. Kita tidak mahu belia terjebak dengan fitnah yang boleh merosakkan perpaduan,” katanya.

Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat berkata, anak muda perlu menjadi penyebar mesej positif, pembina perpaduan dan pemacu kemajuan negeri.

“Saya yakin golongan belia akan terus bersama kerajaan kerana mereka percaya pembangunan negeri hanya dapat diteruskan dengan sokongan berterusan,” katanya. – SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *