SEPANG: Tiga lagi sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza semasa kapal dinaiki mereka dipintas pada 3.39 petang tadi.
Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli, dan Taufiq Mohd Razif yang menaiki kapal Free Willy.
Perkara itu disahkan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan sehingga kini sebanyak 15 orang.
Sebelum ini, 12 sukarelawan Malaysia dilaporkan ditahan selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa berhampiran zon merah R3.
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC termasuk pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana dan PU Rahmat.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela. – BERNAMA