Bekas KSU Ruji Ubi bakal calon PH di DUN Merotai

TAWAU: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, bakal diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan itu ketika berucap pada Himpunan Temui Rapat Umum di Merotai, malam semalam.

Menurut Anwar, PRN Sabah kali ini adalah wadah penting untuk rakyat memilih wakil yang mampu membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Saya kata kepadanya (Datuk Ruji), sudah sampai masa kamu balik kampung dan jaga rakyat,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin selepas memperkenalkan Ruji pada majlis berkenaan.

Ruji, 55, yang bersara daripada perkhidmatan awam pada 21 Jun lalu, adalah anak jati Merotai dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai KSU Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, selain berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed selama sembilan tahun.

Ketika mengetuai ESSCOM, Ruji berperanan menambah aset keselamatan manakala ketika di KDN, beliau berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk perolehan pejabat serta kuarters anggota ESSCOM di Lahad Datu, projek ICQS Serudong di Kalabakan dan IPD baharu di Nabawan serta Kalabakan.

Di Sabah, ketokohannya terserlah ketika berkhidmat di SDO apabila beliau berjaya melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat termasuk rumah panjang di Kota Marudu, pembaikan sekolah daif serta menyelamatkan projek sakit SMK Titingan 2, SMK Kinabutan 2 dan SMK Langkon 2.

Dilahirkan pada 18 Jun 1970, Ruji pernah menyatakan hasrat mahu kembali ke Tawau untuk ‘berkebun’ selepas bersara awal, namun kini dijangka menggalas cabaran baharu dalam arena politik tanah air. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *